Kingdom Hearts - Help Select
Subscribe:

Senin, 15 Agustus 2011

Akhlak Yang Sejati

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak aku diutus melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang luhur.”
Akhlak ialah tingkah laku, budi pekerti, peribadi, gerak geri dan cara bergaul. Akhlak juga ialah adab dan tata susila. Akhlak ada beberapa peringkat. Ada akhlak kepada Tuhan. Ada akhlak sesama manusia. Ada akhlak terhadap makhluk Tuhan yang lain.
Di antara akhlak kita kepada Tuhan termasuklah kita yakin dan beriman kepada-Nya. Kita sabar dan redha di atas segala ketentuan-Nya. Kita menyembah dan bertawakal kepada-Nya dan lain-lain lagi.
Akhlak kita sesama manusia berbagai pula bentuknya. Kita taat dan patuh pada guru dan ibu ayah kita. Kita cinta dan kasihkan mereka. Kita rendahkan diri dan hati kita terhadap mereka. Begitu jugalah akhlak kita terhadap pemimpin. Sesama kawan pula, kita berlapang dada, saling bantu-membantu, nasihat-menasihati dan berkasih sayang. Kita hormati orangorang tua dan kita berbelas kasihan kepada kanak-kanak dan orang-orang yang lebih muda dari kita. Kalau kita membela haiwan pula maka perlulah kita menyediakan tempatnya, makan dan minum secukupnya. Tidak bolehlah kita mendera atau menyakiti haiwan tanpa sebab, kecualilah haiwan yang merbahaya, kita dibolehkan untuk membunuhnya.
Akhlak seseorang itu terbentuk atau terbina disebabkan oleh tiga faktor, iaitu:
  • Oleh tabiat semulajadinya. Lahir sahaja orang itu, tabiatnya sudah berlemah lembut, peramah, pemurah dan sebagainya.
  • Oleh suasana, persekitaran, tempat dia dibesarkan dan oleh puak, suku atau kaumnya. Kalau adat resam kaumnya suka dan pandai menerima tetamu maka dia pun jadi begitu.
  • Yang ditunjangi dan diteraskan oleh iman dan rasa takut serta cinta kepada Tuhan. Inilah akhlak yang sejati.
Akhlak yang bertunjangkan dan berteraskan iman ini tahan diuji dan tahan dicabar. Ia kuat mencengkam peribadi dan jiwa seseorang itu kerana akhlak seperti ini diperolehi melalui mujahadah dan perjuangan. Akhlak yang terhasil dari mujahadah dan yang bertunjangkan iman ini ada pahalanya.
Adapun akhlak yang terhasil dari tabiat semula jadi atau dari suasana dan persekitaran adalah lemah dan tidak tahan dicabar. Kalau dicabar, ia akan terbarai dan musnah. Ia mudah berubah mengikut suasana dan pengaruh luaran. Kalau dijemur dia kering, kalau direndam dia basah. Kalau terdedah kepada budaya lepak, dia akan turut melepak. Kalau terdedah kepada pengaruh “black metal”, maka jadi ‘logam hitam’lah dia.
Sering kita lihat orang yang sewaktu remajanya di kampung, lemah lembut, pandai menghormati orang-orang tua dan selalu melaungkan azan di surau dan masjid. Tetapi sesudah dewasa dan bekerja di kota, dia tidak kisah pula pada orang dan suka pula menyanyi di disko. Ke masjid sudah tidak ada lagi. Ada pula orang yang semasa remajanya liar dan tidak boleh dikawal tetapi berubah menjadi baik walaupun persekitarannya penuh dengan godaan dan pancaroba. Inilah bezanya akhlak yang diperolehi tanpa usaha dan yang diperolehi melalui mujahadah, keinsafan dan keimanan.
Oleh itu, tidak cukup kalau kita lihat umat Islam itu berakhlak. Kita kena tentukan umat Islam itu kuat iman serta takut dan cinta kepada Tuhan. Barulah akhlak yang ada pada mereka itu mencengkam dan termeteri di dalam jiwa dan peribadi mereka. Barulah akhlak itu akhlak yang sejati yang menjadi darah daging dan tidak mudah luntur dan berubah dalam suasana apa sekali pun. Dalam senang mereka berakhlak. Dalam susah pun mereka berakhlak. Tidak ada kuasa mereka berakhlak. Bila ada kuasa pun mereka berakhlak. Bila miskin mereka berakhlak. Sudah kaya-raya pun mereka berakhlak. Di khalayak ramai mereka berakhlak, bila bersendiri pun mereka berakhlak.
Di Malaysia mereka berakhlak, bila berada di London atau di Moscow pun mereka berakhlak. Kerana berakhlak itu bukan mengikut keadaan, tempat atau musim. Di mana pun dan dalam keadaan apa sekali pun kita wajib berakhlak. Dengan kekuatan akhlak yang berteraskan iman ini, barulah akan terpancar akhlak Islamiah yang boleh dilihat oleh semua orang. Akhlak itu ibarat bunga. Semua manusia dan bangsa sukakannya. Ia bersifat sejagat. Tidak payah banyak cakap, akhlak yang murni dan luhur itu adalah satu bentuk dakwah yang sangat berkesan.
Tidak ramai orang kafir memeluk agama Islam kerana ilmu Islam itu sendiri atau kerana sebab-sebab yang lain. Yang ramai memeluk Islam ialah kerana melihat akhlak dan cara hidup umat Islam yang cantik, indah dan murni. Akhlak dan cara hidup umat Islam ialah dakwah yang paling berkesan. Pada zaman awal Islam ramai kaum musyrik dan Yahudi memeluk Islam hanya kerana melihat akhlak Rasulullah SAW yang sangat mulia lagi terpuji.
Bencinya dan buruk sangka orang kafir terhadap Islam dan enggannya mereka memeluk agama Islam banyak disebabkan oleh akhlak umat Islam yang buruk, kasar, ganas, kotor, jahat dan menjijikkan. Inilah dia umat Islam yang secara sedar atau tidak sedar, secara sengaja atau tidak sengaja yang mengkhianati agama Islam.

0 komentar:

Posting Komentar